Doa Panjang Umur?

Dalam kehidupan harian, kita selalu berdoa supaya Allah panjangkan umur kita sedangkan kita tahu umur kita telah dinoktahkan dan dimuktamadkan tidak akan terlebih atau terkurang walaupun sesaat sepertimana dirakamkan dalam Al-Quran, Surah Al-A’raf, Ayat 34 yang bermaksud;

“Dan bagi tiap-tiap umat ada ajal (yang telah ditetapkan); maka apabila datang ajalnya, tidak dapat mereka dikemudiankan walau sesaatpun, dan tidak dapat pula mereka didahulukan.”

Jadi, sudah terang dan jelas mengenai ajal yang tidak boleh ditangguh tetapi kenapa kita masih berdoa. Terdapat satu hadis yang menerangkan tentang konsep panjang umur. Maksud hadis tersebut adalah;

Daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah S.A.W bersabda: Sesiapa yang suka untuk diperluaskan rezekinya dan dipanjangkan umurnya, makahendaklah dia menyambung silaturrahim (hubungan kekeluargaan).

Hadis ini telah disalahtfsirkan dan dijadikan hujah bahawa mati boleh ditangguh oleh sesetengah pemimpin ajaran sesat. Berbalik kepada persoalan asal, mengapa kita berdoa supaya panjang umur sedangkan memang umur kita telah ditetapkan tuhan. Surah Al-Waqi’ah, Ayat 60 menperjelaskan lagi kesamaran mengenai kematian, maksud ayat adalah seperti;

“Kamilah yang menentukan (dan menetapkan masa) kematian (tiap-tiap seorang) di antara kamu, dan Kami tidak sekali-kali dapat dikalahkan atau dilemahkan”

Kenapa kita berdoa panjang umur? Agak-agaknya kenapa…bercanggahkah hadis dan Al-Quran…Sunnah Nabi tidak sekali-kali bercanggah dengan Al-Quran…sebab ianya datang dari punca dan sumber yang sama..dari Allah S.W.T. Kenapa kita masih berdoa supaya panjang umur…Antara sebab-sebabnya adalah seperti berikut yang mana saya pernah terbaca;

1. Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani menyatakan konsep ‘panjang umur’ dalam hadith ini bermaksud seseorang itu diberi keberkatan dalam umurnya dengan diberikan taufik untuk melakukan ketaatan dan mengisi waktu dengan apa yang diberi manfaat kepadanya pada hari akhirat.  Al-Hafiz Ibn Hajar juga membuat contoh ‘keberkatan umur’ yang dimaksudkan ialah sepertimana Allah S.W.T. memberikan malam Lailah al-Qadar kepada umat ini bagi menyamai ibadah umat terdahulu yang panjang umurnya. Maka, samalah sebagaimana orang yang menyambung silaturahim, mereka diberi taufik untuk melakukan ketaatan kepada Allah dan dijaga oleh Allah daripada melakukan maksiat dan dikekalkan ingatan orang terhadapnya selepas kematiannya kerana silaturahim tadi. Di antara taufik yang diberikan kepada orang yang menyambung silaturrahim itu seperti ilmu yang dimanfaatkan selepas kematiannya, sedekah jariah dan zuriat yang soleh yang sentiasa mendoakannya.

2. Ibn Fawrak secara pasti (jazam) menyatakan maksud panjang umur itu ialah menghilangkan penyakit atau kecacatan pada orang yang menyambung silaturrahim pada aspek minda dan akalnya. Maksudnya orang tersebut tidak terkena penyakit nyanyuk atau mental disorder.

Jadi bolehlah disimpulkan bahawa Doa Panjang Umur bukan bermaksud untuk memanjangkan umur atas urusan seharian duniawi tetapi berdoa agar umur diberkati, tidak sakit dan diberikan kekuatan untuk menjalankan ibadah kepada Allah.

Setakat ini saja untuk hari ni, Yang Baik semuanya dari Allah S.W.T, yang buruknya dari saya sendiri.

Saya ingin juga nak masukan hadis mengenai peristiwa Nabi Musa a.s menampar mata Malaikat Maut ketika datang bertemunya untuk menyabut nyawa Nabi Musa a.s yang mana telah dijadikan hujah segelintir pihak untuk ‘memutihkan tahi kambing yang sememangnya hitam legam’ bahawa mati itu tidak boleh ditangguh. Sekian, terima kasih.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s